Selasa, 30 Disember 2014

MEMULAKAN PERBUALAN





DAFTAR ISTILAH/NAMA

Pembuka pintu
Soalan tertutup
Soalan terbuka
Kata penyambut
Penggalak minima
Menghadirkan diri

KEPENTINGAN

Kemahiran dalam memulakan perbualan adalah kemahiran penting untuk memula dan meneruskan perhubungan. Kemahiran ini perlu untuk pemimpin yang ingin menggunakan kuasa personal, ahli politik yang ingin meraih undi, jurujual yang ingin mendapatkan pelanggan, ahli perniagaan yang ingin membina jaringan perniagaan ataupun individu yang memang suka untuk mengenali orang lain. Katakan anda berada di satu majlis keramaian. Anda tidak mengenali sesiapa di situ. Untuk memecah kesunyian, anda cuba menyapa seseorang di sebelah anda. Bagaimana anda memulakan perbualan? Sapaan "Buat apa tu?" nampaknya agak kurang sesuai. Manakala, "Apa pendapat encik tentang keadaan politik?" nampaknya terlalu formal dan drastik. Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk memulakan perbualan.

Memulakan perbualan dengan seseorang yang kita belum kenal bukanlah satu perkara yang sukar jika anda mengetahui cara-caranya. Pertama, kenalpasti orang-orang yang anda rasa bersifat terbuka dan mudah didekati. Anda dapat kenali dari mesej nonverbal yang ditunjukkan. Mereka biasanya menampakkan senyum, anggota badan seperti tangan dan kaki dalam keadaan terbuka dan sebagainya. Setelah anda sudah mengenalpasti orang yang langkah seterusnya senyum, memulakan kontak mata dan seterusnya memulakan perbualan. Untuk memulakan perbualan anda mesti memilih mesej "Pembuka Pintu" anda.

Untuk membuka pintu perbualan, anda boleh memilih tiga topik yang selalu diperbualkan iaitu:
  • situasi
  • orang lain
  • diri anda sendiri
Untuk memulakan, anda boleh memilih tiga cara yang selalu dilakukan iaitu:
  • Bertanyakan soalan
  • Memberikan pendapat
  • Menyatakan fakta

SITUASI

Memulakan perbualan dengan bercakap tentang situasi adalah biasanya lebih mudah berbanding dengan topik-topik lain. Ini ialah kerana ianya tidak mencetuskan kerisauan dan dapat melibatkan diri pihak tersebut.

Untuk memulakan topik ini mudah saja. Anda cuma perlu lihat sekeliling dan tanya soalann atau nyatakan sesuatu yang menarik perhatian anda dan orang lain. Contohnya seperti berikut:

Anda sedang menunggu bas di sebuah perhentian bas. Di sebelah and ialah beberapa orang lagi yang sedang menunggu bas. Anda boleh mulakan perbualan dengan bertanyakan soalan, "Pukul berapa bas ni sampai?" atau, "Bas ni selalu lewat ke?", atau soalan kegemaran saya semasa saya kecil, "Pemandu tu bawa bas ke buat bas?". Atau anda boleh menyatakan fakta, contohnya dengan berkata, "Bas ni agaknya 5 jam lagi baru sampai!" atau "Bas ni selalu lewatlah!" dan sebagainya.

ORANG LAIN

Kebanyakan orang suka memberikan reaksi terhadap soalan yang berkenaan dengan diri mereka. Sebelum anda mula, perhatikan apa yang orang itu sedang lakukan, atau apa pakaian yang dipakai atau buku yang sedang dibaca dan sebagainya. Misalnya, "Awak nampak macam nak cari sesuatu. Boleh saya tolong?", atau "Soalan yang awak tanya pada penceramah amat menarik sekali" atau "Rupa awak seiras dengan kawan saya" dan sebagainya.

Pembuka pintu terbaik ialah mesj yang menunjukkan anda berminat. Misalnya, "Saya selalu nampak saudara dan teringin nak berkenalan" atau "Saya minat dengan cara awak sebab itulah saya datang nak bertemu muka". Pembuka ini lebih berkesan berbanding dengan pembuka-pembuka yang tidak mempamirkan minat si penanya.

DIRI SENDIRI

Topik berkenaan diri anda sendiri bukanlah cara terbaik untuk memulakan perbualan. Ini ialah kerana orang lain biasanya lebih berminat untuk bercakap tentang diri mereka berbanding dengan diri kita. Walaubagaimanapun, kita boleh membuka maklumat diri sekiranya mereka menunjukkan minat dengan bertanyakan soalan tentang diri kita.

MENGOLAH SOALAN

Kecemerlangan anda dalam perhubungan banyak bergantung kepada cara anda mengolah soalan pembuka perbualan. Soalan yang diolah dengan baik akan menarik minat orang lain dan soalan yang tidak wajar ditanya akan menyebabkan orang lain hilang minat. Soalan yang tidak diolah dengan baik akan menyebabkan sipenanya merasakan seolah-olah dirinya melakukan soal siasat. Terdapat dua bentuk soalan iaitu soalan-soalan tertutup dan soalan-soalan terbuka.

SOALAN TERTUTUP

Soalan-soalan tertutup ialah soalan-soalan berbentuk benar salah atau anika pilihan. Misalnya, "Awak datang dari mana?", "Kita nak pergi pukul 4 ke pukul 5?"Betul ke awak tak nak datang?" dan sebagainya.

Soalan-soalan tertutup adalah berguna untuk menggalakkan orang lain membuka maklumat diri mereka secara spesifik. Soalan bentuk ini adalah soalan-soalan yang menjadi kegemaran para peguam untum mendapatkan maklumat terperinci atau spesifik tentang sesuatu kes mahkamah. Walaubagaimanapun dalam konteks pergaulan seharian, jika soalan ini ditanya secara berterusan, perbualan itu menjadi tidak menarik dan membosankan. Pendengar akan merasakan diri mereka seolah-olah disoalsiasat oleh pegawai polis.

SOALAN TERBUKA

Soalan-soalan terbuka ialah seperti soalan esei yang memerlukan jawapan yang lebih dari dua tiga patah perkataan. Soalan berbentuk ini bukan saja meminta si pendengar memberi penjelasan tetapi juga menunjukkan bahawa si penanya berminat dengan apa yang telah diucapkan oleh si pendengar. Soalan-soalan bentuk ini selalunya bermula dengan "Kenapa" dan "Bagaimana". Satu perbualan biasanya dimulakan dengan satu dua soalan tertutup, kemudiannya diikuti dengan soalan-soalan terbuka.

KESILAPAN DALAM MENGOLAH SOALAN

Di antara kesilapan yang selalu dilakukan ialah:

1. Bertanyakan soalan yang terlalu terbuka. Misalnya, "Bagaimana kehidupan awak?" atau "Apa cerita?".

2. Mula dengan soalan-soalan susah. Misalnya, "Apa pendapat awak tentang perlumbaan senjata nuklear?".

3. Bertanyakan soalan yang bersifat terarah. Misalnya, "Awak tak nak minum, kan?" atau, "Awak memang tak sukakan dia, kan?".

4. Menyatakan ketidak setujuan sebelum meminta penjelasan.

5. Tidak tahu apa yang patut ditanyakan.

MENERUSKAN PERBUALAN

Untuk menerus dan menggalakkan perbualan, cara-cara berikut selalu digunakan:
1. Katakunci
2. Kata penyambut
3. Mengangguk kepala
4. Penggalak minima

KATAKUNCI

Bila seseorang itu bercakap, dia akan menyampaikan perca-perca maklumat tentang dirinya. Perca-perca maklumat ini merupakan maklumat percuma yang anda perolehi dan boleh digunakan untuk meneruskan perbualan. Caranya ialah dengan memberikan komen dan bertanyakan soalan. Maklumat yang diberi membolehkan anda kenalpastikan beberapa katakunci yang boleh menjadi penyambung perbualan. Misalnya jika seseorang itu memberitahu anda, "Saya pelajar UPM" katakunci-katakunci yang anda kenalpasti ialah "pelajar" dan "UPM". Sekiranya anda memilih katakunci "pelajar" maka soalan anda seterusnya ialah, "Apa kursus yang awak ambil?". Sekiranya katakunci "UPM" dipilih, anda mungkin bertanya, "UPM tu kat mana?".

KATA PENYAMBUT

Kata penyambut digunakan untuk menggalakkan si pembicara menjelaskan apa yang telah dikatakan sebelumnya. Antara kata penyambut yang biasa digunakan ialah "Jadi?", "Maksudnya?", "Contoh?", "Kemudian?", "Lepas tu?". "Habis tu?" dan sebagainya. Dalam Bahasa Inggeris, ungkapan yang selalu digunakan ialah, "meaning?", "For example?", "Therefore?", "Which means?", "Therefore" dan sebagainya. Kata penyambut hendaklah diikuti dengan suasana diam untuk beberapa ketika bagi memberi isyarat kepada si pembicara untuk menjelaskan apa yang telah dikatakan sebelumnya.

MENGANGGUK KEPALA

Menangguk kepala ialah isyarat universal yang membawa erti persetujuan. Dalam konteks ini anggukan kepala membawa erti sipendengar masih bersama si pembicara. Teknik ini boleh melahirkan suasana positif dan dapat menjadikan si pembicara suka untuk meneruskan kata-katanya.

PENGGALAK MINIMA

Penggalak minima ialah penggunaan ungkapan-ungkapan pendek dan ringkas untuk menggalakkan si pembicara untuk meneruskan perbualan. Misalnya, "Ya, ya", "Ya saya", "Ha a", "Ooo", dan sebagainya. Dalam Bahasa Inggeris, ungkapan yang selalu digunakan ialah, "I see", "Really?", "Yes, yes", "Yeah, yeah",  dan sebagainya.

KEMAHIRAN MENDENGAR

1. Menghadirkan Diri

Menghadirkan diri bererti memberikan perhatian secara fizikal. Menghadirkan diri ialah komunikasi bukan-lisan yang menunjukkan anda memberikan perhatian kepada pembicara. Di antara aspek-aspek yang perlu di ambil perhatian ialah pergerakan badan, pertemuan mata (eye contact) dan suasana sekeliling yang tidak mengalih perhatian (non-distracting environment).

Seorang pendengar yang baik akan menghalakan badannya ke arah pembicara dan berada dalam jarak yang sesuai, tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh. Jika terlalu jauh, anda akan dianggap tidak berminat atau tidak mengambil perhatian. Jika terlalu dekat, anda dianggap menceroboh wilayah peribadinya. Anggota-anggota badan mestilah dalam keadaan terbuka, misalnya tangan dan kaki hendaklah dalam keadaan tidak bersilang. Pertemuan mata perlu ada, tetapi bukanlah secara berterusan, hanya cukup untuk menunjukkan yang anda memberi perhatian. Masyarakat barat menganggap pendengar yang tiada pertemuan mata dengan pembicara adalah tidak sopan dan tidak jujur.

2. Menggalakkan Pengucapan

Untuk menggalakkan pembicara untuk terus bercakap atau meluahkan perasaannya anda dicadangkan untuk menggunakan teknik-teknik yang telah dibincangkan iaitu: 

1. Memilih katakunci
2. Kata penyambut
3. Mengangguk kepala
4. Penggalak minima

3. Memberi Maklumbalas

Memberi maklumbalas bermaksud memberi respon yang membolehkan anda memahami apa yang diucapkan oleh pembicara. Teknik khas yang digunakan dikenali sebagai "Active Listening". Teknik ini berguna dalam dua keadaan:

1. Bila anda kurang pasti yang anda faham apa yang telah diucapkan.
2. Bila mesej yang amat penting atau berbentuk emosional diucapkan.

Terdapat dua cara untuk memberi maklumbalas:

1. Dengan meringkaskan atau menyusun balik apa yang dikatakan oleh pembicara, contohnya, "Jadi anda berpendapat bahawa ..." dan sebagainya.
2. Dengan menanyakan soalan untuk mendapatkan penjelasan, contohnya, "Apa maksud anda bila anda berkata ..." dan sebagainya.


PENDENGAR BAIK VS TIDAK BAIK


Pendengar Yang Baik
  • · Melibatkan orang lain
  • · Memandang muka pembicara
  • · Mendengar untuk memahami
  • · Beri peluang pembicara luahkan
  • · Elak dari bermusuh bila pendapat berbeza
Pendengar Yang Tidak Baik
  • · Tidak libatkan org lain
  • · Memandang siling, jam, lantai.
  • · Mendengar untuk menjawab
  • · Memonopoli perbualan
  • · Memaksa orang terima pendapat.



RUJUKAN
Pease, A dan Garner, A (1985). Talk Language. Sydney: Camel Publishing Company 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Bussiness Site

247VIPclub.com

Favourite Quote

Favourite Quote